Pantai Marina, satu lokasi perkelahan yang popular di kalangan penduduk daerah Kemaman. Lokasinya adalah di muara Sungai Kemaman bersebelahan dengan Kampung Kuala Kemaman, kira-kira 9km dari Bandar Chukai. Ianya juga merupakan antara padang pancing yang utama bagi penduduk sekitar.
Berbagai kemudahan disediakan kepada para pengunjung ke Pantai Marina ini seperti surau, taman permainan kanak-kanak, gerai makan dan juga tandas awam. Sambil bersantai menghirup udara segar, para pengunjung juga dapat melihat suasana kesibukan jalan air yang menjadi laluan kapal dagang dan juga bot nelayan menjalankan urusan mereka.
Di kawasan Pantai Marina ini juga terdapat sebuah telaga yang tercatat dalam lipatan sejarah yang dikenali sebagai ‘Telaga Simpul’. Kewujudan telaga ini juga menjadikan Pantai Marina dikenali sebagai Pantai Telaga Simpul dikalangan penduduk tempatan.
Mengikut kisah orang dulu-dulu, telaga ini merupakan sumber air tawar yang digunakan oleh para nelayan, pelaut mahu pun penduduk tempatan untuk mandi-manda atau mendapatkan bekalan air tawar. Kawasan telaga ini juga dahulunya dihuni oleh ‘makhluk halus’. Penduduk berdekatan selalu meminjam peralatan seperti pinggan mangkuk bila melakukan kenduri-kendara.
Mengikut catatan dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan, Abdullah Mushi yang dalam pelayarannya ke Kelantan pernah singgah di kawasan ini untuk mendapatkan bekalan air tawar serta mandi-manda. Selepas mandi, setiap orang dikehendaki mengambil sehelai daun mengkuang dan disimpulkan kemudian diletakkan berhampiran telaga tersebut. Ini dilakukan bagi mengelakkan sebarang musibah jika tidak berbuat demikian.
Maka dengan itulah, telaga ini dikenali sebagai ‘Telaga Simpul’. Kini, pihak Majlis Perbandaran Kemaman telah memperindahkan kawasan tersebut dan meletakkan plat yang mengandungi sejarah silam Telaga Simpul.
No comments:
Post a Comment